NASIONAL

PREC cadang buka ruang niaga buat golongan asnaf dan anak yatim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bercadang mahu membuka ruang perniagaan kepada anak yatim dan golongan asnaf pusat tahfiz atau rumah kebajikan di mana-mana kompleks perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, ia bagi memberi peluang kepada golongan itu untuk mencari sumber pendapatan sendiri selain memperluaskan lagi kemahiran.

Katanya, kebanyakan golongan terbabit mempunyai kemahiran dalam menghasilkan produk seperti kuih-muih dan jahitan yang mampu membawa mereka pergi lebih jauh.

“Kita akan memperhalusi cadangan untuk membantu golongan ini meluaskan lagi kemahiran sedia ada supaya dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan.

“Di rumah kebajikan mereka belajar melatih diri untuk berdikari dan mengasah kemahiran manakala apabila mahu berniaga kita akan menyediakan ruang perniagaan buat golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Program Kembara Ramadan PREC 2019 di Rumah Amal Limpahan Kasih, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, PREC memberi sumbangan Aidilfitri kepada 354 anak yatim dan asnaf miskin di enam rumah kebajikan terpilih sekitar Selangor pada program Kembara Ramadan PREC 2019.

Kembara Ramadan PREC 2019 membabitkan hampir semua kakitangan PREC dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB) yang turut turun padang bagi memberikan sumbangan itu.

Antara rumah yang dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.

Sementara itu, Pengetua Rumah Amal Limpahan Kasih, Zahid Azhar berkata, beliau menyambut baik di atas jasa pihak PREC dalam menceriakan golongan memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada PREC kerana komited membantu golongan ini dan ia sedikit sebanyak mampu menceriakan mood Aidilfitri mereka,” katanya.


Pengarang :