NASIONAL

Prestasi Bursa Malaysia tidak berubah

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Bursa Malaysia dibuka dengan prestasi tidak berubah berbanding semalam dalam keadaan pasaran berhati-hati memandangkan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China terus meningkatkan ketidaktentuan dalam prospek ekonomi global.

Pada 9.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.72 mata kepada 1,631.08 daripada 1,632.80 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras dibuka 6.03 mata lebih rendah 1,626.77.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 171 berbanding 72, manakala 126 kaunter tidak berubah, 1,537 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 208.21 juta saham bernilai RM66.05 juta.

Walaupun indeks utama itu dapat mencatatkan beberapa peningkatan semula susulan penurunan harian semalam, namun Malacca Securities Sdn Bhd berkata prospek jangka pendek masih lemah, kerana perang perdagangan yang semakin meningkat antara dua ekonomi terbesar dunia berkenaan akan terus menjejaskan sentimen pasaran.

AS telah mengatakan bahawa ia akan menaikkan tarif barangan keluaran China mulai Jumaat ini selepas rundingan perdagangan dihentikan, malah perbincangan lanjut juga masih dilihat penuh dengan ketidakpastian.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan sentimen pasaran lemah akan berlanjutan dengan kebanyakan ekuiti global terus mengalami tekanan dalam keadaan ancaman tarif baharu.

“Ketidaktentuan ini juga akan mempengaruhi saham Malaysia dan kemungkinan mengakibatkan peningkatan tekanan jualan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Saham murah dan saham pasaran meluas dijangka mencatatkan tidak banyak perubahan memandangkan sentimen pasaran yang lemah mungkin akan kekal.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.99, Public Bank turun lapan sen kepada RM22.48, Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM8.91 manakala Maxis tidak berubah pada RM5.43.

Bagi saham yang didagangkan secara aktif, Bumi Armada naik tiga sen kepada 24 sen, Ekovest menokok 2.5 sen kepada 93.5 sen, Xinghe turun setengah sen kepada dua sen dan KNM tidak berubah pada 19 sen.

Indeks FBM Emas naik 4.22 mata kepada 11,546.39, Indeks FBMT 100 menambah 1.26 mata kepada 11,377.44 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 66.31 mata kepada 11,751.17.

FBM 70 menokok 54.28 mata kepada 14,406.59 dan FBM Ace naik 11.40 mata kepada 4,522.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 176.00 mata kepada 16,707.66, Indeks Perladangan naik 20.94 mata kepada 7,223.30 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 0.70 mata kepada 167.82.

-BERNAMA


Pengarang :