BERITA UTAMA NASIONAL

Prestasi PAKATAN: ‘Sederhana tetapi sedang maju’

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang baru setahun mentadbir sedang berusaha keras melaksanakan perubahan walau terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah lama.

Atas azam kerajaan itu, pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan markah 6.5 daripada 10 dengan ringkasan “sederhana tetapi progresif”.

“Prestasi PAKATAN untuk tahun pertamanya di peringkat persekutuan adalah sederhana, walaupun ada menggerakkan dan melakukan kemajuan-kemajuan penting,” kata Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor lagi kepada SelangorKini pada 4 Mei.

“Kerajaan PAKATAN bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah, legasi dari kerajaan dan sistem terdahulu. Dalam masa yang sama masa yang ada untuk adalah singkat.

“Kerana ini saya fikir kerajaan baharu masih lagi tidak mengemukakan apa-apa gagasan baharu – dasar umum untuk Malaysia Baharu. Hal ini akan mengambil banyak masa dan banyak fokus, dan Dr Mahathir tidak mempunyai ruang untuk itu [setakat ini].”

Sementara Dr Mohd Yusri Ibrahim, pensyarah komunikasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan juga ketua penyelidik Ilham Centre, memberikan markah 6 daripada 10 atas kesungguhan kerajaan.

“Secara umumnya kerajaan PAKATAN telah menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membuat perubahan. Banyak perubahan positif telah dibuat oleh kerajaan seperti reformasi institusi, pemulihan iklim demokrasi, peningkatan integriti dan tadbir urus, penyusunan kewangan dan sebagainya.

“Namun semua perubahan ini tidak menampakkan hasil segera, menyebabkan rakyat kurang terasa kesan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional.”

Perdana Menteri sendiri memberikan 5 daripada 10 markah apabila mengulas prestasi menterinya yang kebanyakan masih baru. Percaya mereka perlu diberikan peluang lagi, Dr Mahathir tidak bercadang merombak barisan jemaah menteri.

“Mereka telah menunjukkan prestasi baik, tiada sebab untuk saya merombak Kabinet,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada 6 Mei lepas.

“Tambahan pula, mereka sangat takut dituduh melakukan kesalahan. Ini menyebabkan mereka sukar hendak membuat keputusan tetapi mereka cepat belajar.”

Ditanya menteri yang dilihat berjaya menunjukkan prestasi lebih baik, dua pensyarah tersebut memilih Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Muhamad Nadzri juga melihat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebagai menteri yang berjaya membawa kebebasan media, sementara Dr Mohd Yusri memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali yang membentangkan Kertas Putih FELDA baru-baru ini.

Dr Mohd Yusri juga berkata menteri yang masih baru sudah mula menimba pengalaman dan berharap mereka akan menunjukkan prestasi baik pada tahun-tahun berikutnya.

“Menjelang setahun pemerintahan, menteri-menteri yang sebelum ini dilihat bergelut sudah semakin memperolehi rentak. Mungkin tahun kedua nanti mereka akan memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini pada 4 Mei.

“Pengalaman sebagai pembangkang yang hebat sama sekali berbeza sebagai kerajaan, itu yang dialami oleh majoriti menteri PAKATAN selepas peralihan ini.”

 


Pengarang :