NASIONAL

Prisma Aidilfitri rai 60 asnaf, hadiah baju raya baharu

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Jelas terpancar keceriaan di wajah 60 asnaf apabila diraikan pada Program Prisma Aidilfitri anjuran Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) di Kenanga Wholesale City (KWC), Rabu lalu.

Timbalan Presidennya, Fauzan Abdul Sukor berkata, program itu diadakan bagi mengimarahkan Ramadan dan meluaskan jaringan bersama pihak lain dalam melakukan amal jariah pada Ramadan.

“Dalam program ini terdapat dua aktiviti utama, iaitu edaran bubur lambuk dan pemberian bantuan baju raya.

“Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan dan 60 asnaf menerima set kelengkapan baju raya baharu. Kesemuannya adalah tajaan penuh KWC,” katanya dalam kenyataan.

Selain kerjasama MVM dan KMC, program terbabit turut dijayakan Ahli Kariah Masjid Jamek Kampung Bharu serta mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program tahun kedua itu turut diserikan dengan kehadiran artis tempatan yang juga ikon MVM, iaitu Heliza Helmi.

Pada masa sama, Fauzan berkata, pembabitan artis dalam kerja kesukarelawan dan kemanusiaan membuktikan bahawa aktiviti itu tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja.

“Kami berharap pada masa akan datang lebih banyak syarikat yang sudi bekerjasama dengan MVM supaya lebih ramai insan dapat dibantu dan sekali gus mengeratkan hubungan antara sukarelawan, penaja serta masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :