NASIONAL

PRK Sandakan: SPR sasar lebih 90 peratus pengundi awal mengundi

SANDAKAN, 7 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 90 peratus pengundi awal keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, suruhanjaya itu menyasarkan peratusan yang tinggi berdasarkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang mencatatkan jumlah pengundi awal yang keluar mengundi iaitu sekitar 96 peratus.

“Kita galakkan semua pengundi awal yang berdaftar supaya keluar mengundi dan kita mengharapkan peratusan juga tinggi di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Rumah Kelab Ibu Pejabat Daerah Polis di sini hari ini.

Mohamed Elias berkata proses pengundian awal di dua pusat mengundi iaitu Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjalan lancar.

Mengulas berkenaan kempen pilihan raya itu, beliau berkata masih terdapat pelanggaran peraturan perjalanan pilihan raya termasuk berceramah tanpa permit dan poster calon ditampal dengan tampalan lain.

“Kita minta mana-mana pihak pemerhati yang melihat kesalahan pilihan raya supaya melaporkan kepada polis berserta maklumat lengkap supaya siasatan lanjut dapat dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Proses pengundian awal bermula dengan dua pusat pengundian dibuka pada 8 pagi melibatkan seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan tarikh pengundian pada 11 Mei ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :