NASIONAL

PRK Sandakan: SPR seru keluar mengundi

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 8 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyeru kepada semua pengundi di Parlimen P186 Sandakan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing, pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengundi dinasihatkan merancang masa dan keluar awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi, pada saat akhir.

“Bagi pengundi yang menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

“Bagi yang tidak menerima Kad Pengundi atau belum mengetahui maklumat pengundian, disarankan membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Ia bertujuan memudahkan semakan dibuat serta melancarkan proses pengundian pada hari terbabit. Pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Semakan berkaitan maklumat pengundian boleh dibuat melalui portal rasmi SPR (www.spr.gov.my), telefon ke talian 03-88927018, aplikasi MySPR Semak dan SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN).

Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat berikut, iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Seramai 39,856 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu (11 Mei 2019) ini daripada 39,684 jumlah keseluruhan pengundi, manakala 172 daripadanya mengundi secara pos.

Waktu mengundi bermula 7 pagi sehingga 5 petang.


Pengarang :