NASIONAL

Produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM180,080 dirampas

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 29 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM180,080 yang didalangi warga Bangladesh dan India, pada 26 Mei lalu.

Operasi itu membabitkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat KKM bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi serbuan dijalankan di dua buah premis klinik dan farmasi haram hasil risikan sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Katanya, penguatkuasa berjaya menghidu taktik mereka apabila produk berkenaan disimpan serta disorok di tempat yang sukar dikesan, iaitu di sebalik produk makanan dan barangan am serta mengubah waktu operasi apabila lebih aktif pada hari minggu.

“Kementerian turut melakukan serbuan sama pada tahun lalu, iaitu ke atas lima premis haram yang membabitkan warga Bangladesh di kawasan sama.

“Penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam boleh menyemak status dan nombor pendaftaran MAL sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 di samping memastikan label Hologram Meditag pada pembungkusannya.

Pada masa sama, beliau menyarankan supaya orang ramai memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk.

“Aduan berkaitan produk tidak berdaftar juga boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” katanya.


Pengarang :