SELANGOR

PSP Selangor rai 100 anak asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 16 MEI: Seramai 100 anak asnaf miskin diraikan Pertubuhan Sahabat Penyayang (PSP) Selangor dengan membeli keperluan raya, menerusi Program Sumbangan Kasih Aidilfitri.

Pengerusinya, Hariz Aizat Mahyudin berkata, pihaknya komited meneruskan inisiatif kebajikan tahunan itu menjelang Ramadan, sejak ia ditubuhkan lima tahun lalu.

Katanya, program itu bertujuan berkongsi keghairahan dan kegembiraan bersama anak asnaf selain meringankan beban ibu bapa dan penjaga menjelang Aidilfitri, tidak lama lagi.

“Pelaksanaan program ini sengaja dilakukan pada minggu pertama Ramadan bagi memberi ruang yang cukup kepada ibu bapa mahupun penjaga untuk merancang perbelanjaan keperluan seisi keluarga.

“Kami gembira apabila melihat senyuman yang jelas terpancar di wajah anak-anak ini apabila mereka boleh memilih sendiri kelengkapan raya masing-masing,” katanya pada program itu yang diadakan di Pusat Pakaian Hari-Hari Cawangan Pekan Kapar, baru-baru ini.

Pada masa sama, Hariz Aizat berkata, program itu turut mendapat kerjasama erat daripada 12 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh DUN Sementa.

Katanya, hanya nama penerima yang layak dikenal pasti dan dikumpulkan bagi menerima sumbangan terbabit.

“Penerima dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan ini menerima baucar membeli-belah bernilai RM150 seorang yang disampaikan sendiri Timbalan Speaker Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi.

“Ribuan terima kasih buat para dermawan yang terus memberi kepercayaan kepada kami dalam penganjuran program kebajikan dan penyaluran bantuan terus kepada yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :