SELANGOR

PSRA untuk pelajar di Kemboja tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang menggunapakai standard peperiksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan dilaksana di Kemboja bermula 26 hingga 28 Ogos ini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, ia adalah peperiksaan agama pertama dan bertaraf peringkat kebangsaan di Kemboja untuk pelajar di sana.

“JAIS membantu membangunkan sistem pendidikan Islam di Kemboja sejak 2013.

“Kerjasama dijalin bersama dengan Majlis Mufti dan Kementerian Pendidikan Kemboja.

“Kurikulum Sekolah Rendah Agama JAIS diterima dan dibenarkan dilaksana di semua sekolah rendah agama di sana,” katanya.

Haris berkata, enam buku teks JAIS berjaya diterjemah dan dicetak ke Bahasa Cham dan Khmer dan diguna pakai oleh guru dan murid di Kemboja.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama JAIS bersama beberapa anak syarikat kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan serta orang perseorangan di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, JAIS turut mengedarkan buku teks JAIS sebanyak 12,000 naskhah bagi mata pelajaran Hafazan Al Quran kepada pelajar Islam di Kemboja.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :