OLYMPUS DIGITAL CAMERA
SELANGOR

PTD Kuala Selangor kutip premium tanah hampir RM70 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Selangor berjaya mengutip premium tanah sebanyak RM68.9 juta iaitu 98.4 peratus hampir dengan sasaran Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini menetapkan sasaran kutipan premium tanah di wilayah itu sebanyak RM70 juta.

Katanya, kutipan bagi permit bahan batuan juga amat membanggakan apabila melepasi sasaran sebanyak 257.4 peratus dengan jumlah melebihi RM38 juta.

“Tidak ketinggalan juga pelaksanaan projek fizikal seperti baikpulih jalan, infrastruktur sukan dan pelbagai lagi dengan jumlah peruntukan melebihi RM9 juta.

“Pembangunan di sekitar Kuala Selangor semakin menjadi tumpuan dan membangun dari semasa ke semasa sekali gus bakal menjadi tarikan baharu pelabur dan pemaju untuk menampung limpahan kemajuan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Adilfitri 1440H di Masjid An Naim, Kampung Sungai Sembilang, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, dengan kepesatan pembangunan fizikal di daerah itu, penjagaan alam sekitar tetap tidak dilupakan dan sentiasa terpelihara.

“Hutan Simpan Ulu Tinggi dan Hutan Gambut masih dikekalkan sebagai kawasan tadahan hujan bagi membekalkan air bersih manakala penanaman padi serta kelapa sawit masih kekal sebagai tanaman utama dan punca pendapatan rakyat setempat.

“Sebagai daerah yang diiktiraf sebagai agro-pelancongan, banyak produk semakin mendapat sambutan terutama daripada pelancong dalam dan luar negara antaranya Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan Sky Mirrors,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, Kuala Selangor juga adalah daerah kedua terbesar di negeri ini yang terdiri daripada sembilan mukim berkeluasan 119,452.46 hektar.

“Terdapat 58 masjid dan 154 surau di daerah ini yang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ibadah, majlis ilmu, pusat penyebaran dakwah dan program rasmi kerajaan,” katanya.

 


Pengarang :