Pukat tunda haram: Nelayan diugut setelah beri maklumat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Pukat tunda haram: Nelayan diugut setelah beri maklumat

MUAR, 19 MEI: Nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram.

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, berkata pihaknya memandang serius hal itu dan akan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan berikutan masalah pencerobohan pukat tunda haram tetap berlaku meskipun aduan telah dilakukan.

“Saya telah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk mengambil nama pegawai yang terlibat selain akan membawa perkara ini kepada SPRM juga pihak berkuasa yang berkaitan.


“Ini adalah tindakan pengecut dan ia (pencerobohan) ini telah lama berleluasa, bukti seperti nombor pendaftaran juga telah diberikan dan mereka boleh mengesan menerusi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) sekiranya mahu melakukan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Bersama Nelayan dan Agensi Kerajaan di Parit Kasim, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pejabat Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adman; dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Muar, ASP Nordin Osman.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata masalah pencerobohan bot pukat tunda selain isu membelenggu nelayan seperti kecurian bot yang berlarutan di kawasan itu sejak sekian lama akan diatasi dengan tindakan penguatkuasaan tegas yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa isu ini ke peringkat atasan untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Pertahanan.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan MOA mewajib penggunaan sistem AIS kepada semua pukat tunda kelas B yang bagi memudahkan pemantauan sepanjang mereka berada di perairan negara untuk aktiviti perikanan.

Terdahulu, pada 4 Mei lalu, beliau telah melakukan lawatan mengejut di Parit Jawa di sini bagi menyelami masalah dan isu yang dihadapi nelayan di kawasan berkenaan.

Pihaknya dimaklumkan pukat tunda haram yang mencerobohi sehingga kawasan Tanjung Tohor dan ia boleh memusnahkan tempat perlindungan, pembiakan ikan selain membinasakan jaring dan bubu nelayan pada bila-bila masa.

Pencerobohan itu telah berlaku sehingga menghampiri kawasan Bagan antara tiga hingga lima batu nautika dari pantai di antara jam 6 pagi hingga 6 petang dan perkara itu telah menjejaskan mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next