SELANGOR

Pusat beli belah Da Men tawar kemeriahan ‘Indahnya Raya’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 11 MEI: Menjelang Syawal, Da Men Mall USJ 1 meraikan pengunjung dengan menawarkan pelbagai kemeriahan ‘Indahnya Raya’ untuk dirasai ketika membeli belah mahupun menikmati juadah di gedung berkenaan.

Paling menggamit tumpuan, kempen ‘Indahnya Raya’ yang berlangsung selama sebulan mulai 9 Mei hingga 9 Jun ini akan menampilkan watak komik tempatan, Pocotee & Friends.

Penasihat Da Men Mall, Dato’ Abdul Wahab Khalil berkata, selain menyuntik suasana mesra pusat beli belah berkenaan melalui penampilan Pocotee & Friends, pengunjung turut berpeluang menyaksikan hiasan Beg Anyaman gaya Malaysia yang mempunyai kisah tersendiri di sebalik sulaman itu.

“Pelbagai tarian, muzik dan persembahan lain akan dipertontonkan khas kepada pengunjung serta seisi keluarga.

“Pengunjung juga disambut oleh bermacam-macam cenderahati ketika membeli belah di reruai promosi istimewa yang terdiri daripada hamper Raya, sabun buatan sendiri, kuih-muih, barangan kosmetik dan baju raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Program Indahnya Raya Da Men 2019, di Ruang Legar Pusat Membeli Belah Da Men, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Ahli Majlis Zon 4, Kamarul Hisham Yeop Hashim dan Pengurus Kanan Sewaan Da Men Mall, Joanne Kuan.

Abdul Wahab berkata, sepanjang musim perayaan, pihaknya bekerjasama dengan Public Bank untuk memberikan ganjaran kepada pengunjung apabila mereka membelanjakan RM50 (RM40 bagi pemegang kad Public Bank) dalam satu resit.

“Pengunjung akan menerima satu set paket raya edisi istimewa Pocotee & Friends. Sebagai tambahan, pengunjung juga boleh menyertai Peraduan Pusing & Menang untuk memenangi baucar dan cenderahati menarik,” katanya.

Terdahulu, kempen ‘Indahnya Raya’ dijalankan dengan usahasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersempena Sambutan Hari Ibu peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Dalam majlis sama, seramai 21 wanita dalam kategori B40 dari beberapa pangsapuri kos rendah sekitar Subang Jaya dipilih untuk menerima sumbangan berupa pek makanan daripada Da Men.


Pengarang :