SELANGOR

PWS catat kutipan wakaf RM42 juta

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 MEI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mencatatkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM10 juta manakala RM32 juta bagi wakaf khas pada tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, peningkatan bilangan pewakaf melalui potongan gaji sektor awam dan swasta hampir mencecah 13,000 orang.

Katanya, peningkatan itu menunjukkan pemahaman masyarakat Islam mengenai kepentingan wakaf dalam membangunkan ekonomi umat Islam sekali gus memberi kesan positif dalam pencapaian pengurusan wakaf khususnya wakaf tunai.

“Pada masa sama, beberapa pembinaan masjid turut dilaksanakan seperti Masjid Denai Alam yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM19 juta.

“Status terkini bagi pembinaan masjid terbabit, ia dalam tindakan penyediaan dokumen seperti penyediaan Pelan Kebenaran Merancang untuk dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mohammed Khusrin berkata, bilangan pewakaf melalui potongan gaji di sektor awam masih di tahap yang rendah berbanding jumlah kakitangan awam di Selangor.

“Saya mencadangkan supaya ketua jabatan sektor awam mencontohi Majlis Perbandaran Subang Jaya yang mewajibkan setiap kakitangannya membuat potongan gaji bagi tujuan wakaf tunai.

“Pada masa sama, umat Islam di Selangor dinasihatkan untuk membayar zakat fitrah kepada amil yang bertauliah dan dilantik Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Sebanyak 27 cawangan LZS yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan ini.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :