NASIONAL

Rafizi menang rayuan kes saman fitnah pengerusi eksekutif NFCorp

PUTRAJAYA, 13 MEI: Naib Presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli, menang dalam rayuan untuk mengetepikan satu perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya supaya membayar ganti rugi RM200,000 kepada pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya kerana memfitnah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Wira Kamaludin Md Said membenarkan rayuan Mohd Rafizi.

“Kami sebulat suara bersetuju bahawa rayuan beliau mempunyai merit. Rayuan ini dibenarkan dengan kos,” kata Hakim Hamid Sultan.

Beliau mengarahkan Dr Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000, termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar oleh Mohd Rafizi kepada beliau (Dr Mohamad Salleh).

Hakim Hamid Sultan mengarahkan supaya Dr Mohamad Salleh mengembalikan wang RM300,000 itu dalam tempoh 30 hari, yang jika gagal akan dikenakan kadar faedah lima peratus setahun sehingga bayaran itu lunas.

Hakim Hamid Sultan juga mengarahkan Dr Mohamad Salleh untuk membayar RM10,000 sebagai kos prosiding Mahkamah Rayuan dan RM100,000 kos prosiding di Mahkamah Tinggi.

Hakim Hamid Sultan juga menolak rayuan balas yang dikemukakan oleh Dr Mohamad Salleh mengenai jumlah ganti rugi berkenaan.

Peguam Dr Mohamad Salleh, Sarah Abishegam memohon keputusan penangguhan tetapi Hakim Hamid Sultan mengarahkan beliau supaya membuat permohonan rasmi.

Pada 2013, Dr Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Mohd Rafizi dengan mendakwa beliau (Mohd Rafizi) telah membuat pernyataan fitnah pada 7 Mac, 2012 pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah KL Eco City yang disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Pada 31 Okt 31, 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Dr Mohamad Salleh dan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Mohd Rafizi.

Mohd Rafizi juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar kos RM100,000 kepada Dr Mohamad Salleh.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak rayuan Dr Mohamad Salleh terhadap Malaysiakini.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Sarah yang meminta penangguhan rayuan itu selain meminta perkara itu ditangguhkan sehingga peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir di mahkamah.

“Perkara ini telah ditangguhkan sekurang-kurangnya sebanyak lima kali, dan ganti rugi kepada responden pertama (Dr Mohamad Salleh) hanya RM150,000 sahaja,” kata Hamid Sultan.

Kedua-dua Mohd Rafizi dan Dr Mohamad Salleh tidak hadir di mahkamah.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Mohd Rafizi berkata anak guamnya hanya bergantung kepada belaan komen yang adil.

-BERNAMA


Pengarang :