SELANGOR

Raja Muda Kedah berkenan agih zakat lebih RM170,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan wang zakat dan duit raya bernilai lebih RM170,000 kepada 23 rumah kebajikan di sekitar Selangor.

Baginda yang juga selaku Canselor Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) berkenan menyampaikan sumbangan itu pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengagihan Zakat Kepada Anak Yatim di Dewan Canselor, MSU, di sini, hari ini.

Turut mengiringi baginda, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Presiden MSU, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid.

Majlis itu adalah antara program khusus bersempena MSU Ihya Ramadan 2019 bagi meraikan 233 penghuni rumah kebajikan terbabit terdiri dalam kalangan anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Antara rumah kebajikan terbabit adalah Rumah Kasih Harmoni, Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku, Pertubuhan Al Khaadem, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-anak Tersisih Selangor (PAKAT’S), Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih serta Rumah Nur Sakinah.

Difahamkan, majlis penyerahan zakat itu adalah kesinambungan kepada manifestasi peranan Yayasan MSU khasnya dan MSU amnya bagi menghidupkan serta meneruskan budaya bersyukur dan memberi (Giving and Grateful) dalam kalangan warganya.

Sementara itu, MSU Ihya Ramadan 2019 turut menyaksikan pembabitan warga MSU dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan pengagihan zakat membabitkan lokasi di peringkat global dan dalam negara.

Antaranya pengagihan zakat di peringkat global membabitkan Kazakhstan, Sri Lanka, India, China, Indonesia, Syria, Palestin dan Myanmmar.

Manakala, aktiviti lain termasuk pengagihan zakat kepada pelajar sekolah di seluruh negara dan pelajar MSU serta MSU College.

Selain itu, MSU turut melaksanakan iftar perdana setiap hari di kampusnya dan iftar bersama komuniti setempat di 15 masjid sekitar Selangor serta iftar di lima hospital iaitu Kajang, Shah Alam, Sungai Buloh, Tengku Ampuan Rahimah dan Kuala Kubu Bharu.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :