BERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda Selangor berkenan serah sumbangan Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SABAK BERNAM, 18 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM54,400 kepada anak yatim di daerah ini.

Keberangkatan tiba baginda di Masjid Taman Padu Permai Sungai Besar disambut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah dan Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Sabak Bernam, Dato’ Baharin Mat Akhir.

Hadir sama, Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir; Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Mohd Faizul Fitri Muslil; Pegawai Tadbir Agama Sabak Bernam, Mohamad Nazri Sobirin dan Pemangku Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Nurhani Salwa Jamaluddin.

Baginda yang tiba pada jam 12 tengahari berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 544 anak yatim berjumlah RM100 setiap seorang, yang diperuntukkan MAIS melalui YIDE.

Pada majlis sama, baginda turut meluangkan masa mendengar tazkirah ihya Ramadan dari Pencetus Ummah Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz yang juga Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor.

Tengku Amir Shah juga berkesempatan menunaikan solat Zohor bersama hampir 100 jemaah lain.

 


Pengarang :