NASIONAL

Rakyat nikmati siaran televisyen digital sepenuhnya Oktober

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Siaran televisyen digital atau Digital Terestrial Televisyen (DTT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada Oktober ini, kata Pengerusi myFreeView, Johan Ishak.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 15 saluran televisyen dan enam saluran radio yang boleh didapati menerusi myFreeView malah beliau turut menjangkakan 10 lagi saluran tidak lama lagi.

“Kami ada empat penyiar iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Alhijrah Media Corporation dan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama). (Untuk radio) hanya RTM Radio sahaja setakat ini bersiaran,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Manfaat Televisyen Digital myFreeView Untuk Rakyat’ di sini hari ini.

Johan berkata, liputan siaran myFreeView kini mencapai sehingga 98 peratus apabila 44 stesen pemancar siap dibina di seluruh negara.

“Siaran myFreeView adalah percuma tanpa sebarang kos tersembunyi. Pengguna hanya perlu membayar sekali sahaja untuk membeli peralatan dekoder (iDTV) atau dekoder MYTV (DVB-T2) dan membayar yuran pemasangan sekiranya anda perlukan bantuan pemasangan aerial luar UHF,” katanya.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Bahagian Kawal Selia, MYTV Broadcasting Sdn Bhd, Shamsul Najib Mohtar berkata, sehingga Mac lepas, MYTV telah mengagihkan dua juta set dekoder percuma kepada penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) terutama golongan isi rumah B40.

Kata Shamsul Najib, ia merangkumi 1.65 juta dekoder DTT (Televisyen Digital Terestrial) dan 24,482 set dekoder DTH (Direct-To-Home) yang diedarkan kepada penerima BSH yang layak.

“Penerima set dekoder percuma ini hanya perlu membayar caj pemasangan sahaja. Mereka boleh menyemak senarai pemasang berdaftar di laman sesawang http://www.mytvbroadcasting.my.

“Bagi mereka yang ingin membeli set dekoder ini, ia dijual pada harga RM187 sama ada dibeli secara dalam talian atau wakil penjual sah yang disenaraikan menerusi laman sesawang yang sama,” katanya.

Shamsul Najib berkata, sejak 2014, pihaknya bertanggungjawab membangun dan mengendalikan kemudahan infrastruktur serta jaringan perkhidmatan televisyen digital bagi memastikan sistem penyiaran di negara ini beralih daripada analog kepada digital.

Dengan adanya siaran televisyen digital, Shamsul Najib berkata, rakyat dapat menikmati kualiti siaran dan bunyi yang lebih baik malah penambahbaikan itu dijangka merapatkan jurang digital bagi membolehkan akses kepada maklumat yang sama antara penduduk luar bandar dan bandar. – BERNAMA


Pengarang :