SELANGOR

Ramadan lebih bermakna buat 50 keluarga asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Ketibaan Ramadan tahun ini memberi limpahan kegembiraan buat 50 keluarga asnaf di sekitar Zon 24, Petaling Jaya apabila diraikan dalam Majlis Bacaan Doa Selamat, Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya, di Masjid Al Islamiah, Kampung Lindungan, di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Ahli Majlis Zon 24 itu turut disertai kira-kira 700 penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Ahli Majlisnya, Nurainie Haziqah berkata, keluarga asnaf terbabit menerima sumbangan daripada QSR Brands Sdn Bhd seperti beras, produk Life dan Ayamas, gula, tepung dan wang ringgit.

“InsyaAllah program sebegini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan pejabat saya terbuka untuk menerima mana-mana syarikat korporat yang mahu menyumbang kepada golongan asnaf.

“Kawasan Zon 24 Petaling Jaya mempunyai ramai keluarga B40 yang memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama menjayakan program berkenaan adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pada masa sama, Nurainie berkata, QSR Brands juga bercadang membawa kanak-kanak asnaf dari Zon 24 yang merangkumi kawasan PJS 5, PJS 6, sebahagian kecil PJS 7, PJS 8 dan PJS 10 untuk membuat persiapan membeli baju raya, pada Ramadan ini.

“Kita mengalu-alukan sebarang kolaborasi daripada syarikat korporat ataupun mana-mana organisasi mengikut jejak QSR Brands Sdn Bhd untuk memberi kembali kepada masyarakat yang menyokong perniagaan mereka secara langsung,” katanya.


Pengarang :