NASIONAL

Rancang temui Gabenor Jakarta bulan depan

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bulan depan bagi membincangkan prospek pelbagai projek pembangunan hartanah yang melibatkan peranan dewan tersebut.

Menurutnya, sekiranya menjadi kenyataan, pertemuan dengan Anies itu adalah bersempena dengan kunjungan delegasi perniagaan dewan itu ke Pameran Halal Antarabangsa di Jakarta yang dijadualkan pada 27-30 Jun, 2019.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Moehamad Izat berkata perbincangan dengan Gabenor Jakarta itu akan menumpukan kepada aspek pembangunan rumah, pangsapuri, kilang dan hospital.

“Kita berharap dapat berbincang dengan beliau, kenal pasti apakah yang menjadi minat atau tumpuannya. Malah, kalangan pemaju hartanah (Indonesia) itu turut menjadi keutamaan dari segi pembinaan rumah, pangsa puri, kilang dan khususnya hospital.

“(Selain itu) kita juga boleh (terbabit dalam usaha) membeli produk yang diperlukan hospital seperti kelengkapan, produk farmaseutikal dan lain-lain,” katanya.

Beliau yang juga ahli perniagaan veteran turut bergiat secara aktif dalam Dewan Perniagaan Melayu selama 17 tahun dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) selama 19 tahun.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan di Indonesia, ia sewajarnya dimanfaatkan dengan kehadiran pekerja atau bakat dari negara itu ke Malaysia dalam usaha untuk saling menimba pengetahuan.

“Indonesia hari ini tidaklah seperti sebelumnya dan ekonomi mereka sememangnya mencatat pertumbuhan pesat,” katanya.

Selain itu, Moehamad Izat berkata Dewan Perdagangan ASEAN juga akan turut mengunjungi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Indonesia (KADIN).

Ditubuhkan pada 17 April, 2018, Dewan Perdagangan ASEAN bermatlamat menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kalangan negara anggota blok itu, menyemarakkan kesalinghubungan ekonomi, sosial dan budaya menerusi perdagangan serta meningkatkan status ekonomi usahawan ASEAN.

Pada masa ini, dewan itu dianggotai seramai 200 ahli dari 10 negara anggota ASEAN dan Moehamad Izat berharap angka itu dapat ditingkatkan kepada 500 ahli menjelang akhir tahun ini.

Mengulas potensi Malaysia, beliau yakin negara ini bukan setakat mampu bangkit sebagai Harimau Asia malah bergelar Singa Asia pada masa depan.

Beliau juga yakin para pelabur terus berminat untuk berniaga di Malaysia walaupun Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (BCI) yang melibatkan kaji selidik terhadap 3,500 firma di Malaysia, mencatatkan sentimen rendah yang dijangkakan pada separuh pertama tahun ini.

Menurut BCI RAM yang diumumkan pada Januari lepas, statistik itu menunjukkan indeks keyakinan korporat dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masing-masing susut kepada 55.1 dan 51 yang merupakan paras terendah sejak indeks itu dimulakan pada 2017.

“Ada ramai komuniti perniagaan di serata dunia yang mencari peluang untuk berniaga. Oleh itu apabila melihat Malaysia yang pernah bergelar Harimau Asia, mereka sewajarnya menganggapnya sebagai peluang dan wajar memanfaatkannya.

“Oleh itu, saya yakin Malaysia mampu bangkit lebih daripada sekadar Harimau Asia dan sebagai Singa Asia apabila tiba masanya dan kita perlu yakin dengan keupayaan itu,” katanya.

Mengulas prestasi kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei tahun lepas, beliau berkata rakyat perlu memberi peluang kepada menteri yang tidak berpengalaman untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

“Bagi saya, dengan hanya setahun memegang tampuk pentadbiran, mereka perlu diberi peluang. Namun pada masa sama, mereka juga perlu memperbetulkan kelemahan dan kesilapan yang ada.

“Adalah tidak wajar jika mereka mahu rakyat berikan mereka peluang tetapi mereka sebaliknya tidak melakukan apa-apa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :