RENCANA

Rasionalisasi saiz penjawat awam tingkat kualiti perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tujuan utama rasionalisasi penjawat awam adalah untuk mendapatkan saiz paling optimum bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam tidak dikompromi.

Apabila ia mencapai saiz yang sesuai, perkhidmatan awam bukan sahaja menjadi lebih cekap malah membolehkan kerajaan untuk beroperasi dengan kos yang paling efektif, kata Presiden Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Mengulas mengenai hasrat kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam, beliau berkata dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju, apa yang diperlukan oleh pengurusan sektor awam yang berkesan adalah mencari saiz yang sesuai untuknya.

“Apa yang penting adalah mendapatkan nisbah seimbang di antara perkhidmatan awam dan penduduk negara,” katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, portfolio semua kementerian perlu dinilai semula untuk memastikan tiada pertindihan tugas dan fungsi.

Raduan juga menyarankan kerajaan supaya mengenal pasti unit atau bahagian yang menawarkan perkhidmatan sama tetapi terdapat di pelbagai jabatan.

Sebagai contoh, katanya, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terdapat di pelbagai bahagian, boleh ditawarkan sebagai perkhidmatan yang dikongsi bersama.

Sektor penting

Raduan berkata langkah rasionalisasi perkhidmatan awam juga perlu mengambil kira sektor perkhidmatan yang mencerminkan tahap kehidupan rakyat.

Dengan menjadikan sektor kesihatan sebagai contoh, beliau berkata di negara-negara maju, terdapat seorang doktor bagi setiap 400 pesakit tetapi di Malaysia, nisbahnya ialah 1:650.

“Begitu juga dengan bidang pendidikan. Jumlah pelajar di dalam setiap bilik darjah semakin bertambah, oleh itu, kita perlukan lebih ramai guru untuk menambah baik mutu perkhidmatan pendidikan.

“Tidak lupa juga bidang keselamatan, yang jika dikompromi, akan memberi kesan kepada keselamatan negara,”katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan saiz perkhidmatan awam, yang kini mempunyai 1.7 juta penjawat awam.

Pada 12 April lepas, beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa sekiranya keadaan tidak dikawal, kos perbelanjaan mengurus akan bertambah dan bakal memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara setiap tahun.

“Ini akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan berikutan ketidakmampuan kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang boleh menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat jumlah penjawat awam boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi dan pendapatan para pegawai yang akan terlibat dalam inisiatif rasionalisasi itu.

Latihan peralihan

Bagaimanapun, Raduan berpendapat saiz perkhidmatan awam semasa bukanlah ‘terlalu besar’ bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia jika mengambil kira keperluan tenaga kerja di tiga sektor perkhidmatan iaitu keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

Sehingga 1 Jan lepas, sektor keselamatan mempunyai 250,000 penjawat awam, pendidikan (419,904 guru) dan kesihatan (280,000 penjawat awam).

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlulah memainkan peranan aktif dalam mengadakan program latihan peralihan untuk mempersiapkan para penjawat awam dengan kemahiran-kemahiran yang bersesuaian untuk perubahan yang bakal mereka alami.

“Latihan bagi menjadikan penjawat awam pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran perlu diberikan sekiranya mereka berada dalam jabatan yang bakal melalui proses penyusunan semula jawatan, penyusunan semula proses kerja, automasi atau penggunaan teknologi baharu,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa penjawat awam yang berpotensi menyertai sektor swasta juga harus diberi latihan untuk mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang sesuai.

Berikutan itu, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu saling bekerjasama di mana fungsi yang selama ini dijalankan pihak kerajaan dapat dilaksanakan oleh pihak swasta pula.

“Pemindahan beban tugas daripada kedua-dua sektor ini boleh dijalankan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan yang diperlukan oleh negara,” jelasnya.

Surat pekeliling

Isu pengecilan saiz perkhidmatan awam menjadi hangat pada penghujung tahun lepas apabila JPA mengeluarkan surat pekeliling pada 26 Dis 2018 berhubung hasrat kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam bagi mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan sektor itu.

Menurut surat pekeliling itu, yang tular di internet, langkah pengecilan itu melibatkan pengurangan 1 peratus perjawatan di kementerian dan agensi kerajaan pada 2019.

Untuk meredakan keresahan rakyat dan mengelak lebih banyak kekeliruan, JPA mengeluarkan satu kenyataan media pada 25 Jan 2019 bagi menjelaskan tentang insiatif itu yang hanya melibatkan perjawatan yang tidak diisi dan digunakan bagi tempoh melebihi dua tahun serta tidak melibatkan penjawat awam sedia ada.

Menurut JPA, inisiatif kawalan saiz perkhidmatan awam bukanlah suatu perkara baharu malah telah dimulakannya sejak 2015.

JPA juga melaksanakan beberapa langkah bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan awam termasuk mengoptimum sumber manusia, menyusun semula perjawatan, serah urus fungsi serta mengisi jawatan secara berhemah.

-BERNAMA


Pengarang :