Rasuah bekal alat kereta kebal, Datuk seri direman empat hari | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Rasuah bekal alat kereta kebal, Datuk seri direman empat hari

PUTRAJAYA, 20 MEI: Seorang lagi suspek yang juga pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman berhubung kes menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara bernilai RM17 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lelaki itu bermula hari ini sehingga Khamis ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.

Terdahulu suspek berusia 39 tahun tiba di mahkamah pada 9.45 pagi dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.


Pemilik syarikat pembekal peralatan alat ganti kereta kebal itu ditahan pada pukul 11 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Penahanan lelaki itu menjadikan tiga individu telah direman membabitkan kes itu.

Sebelum ini, dua individu iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta juga direman membabitkan kes sama.

Media melaporkan, CEO lelaki bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima suapan berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Menurut sumber, SPRM telah merampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan.

CEO lelaki berusia 45 tahun dan CFO wanita berusia 53 tahun itu dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 12 Mei lepas.

CFO wanita terbabit yang direman selama empat hari dibebaskan pada 16 Mei lepas, manakala CEO lelaki dibebaskan hari ini.

— BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next