SELANGOR

‘Raya Bersama PKNS di Shopee’: PKNS yakin capai RM500,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis mampu mencapai sasaran jualan melebihi RM500,000 melalui kempen ‘Raya Bersama PKNS di Shopee’ sehingga 30 Mei ini.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, sasaran itu berdasarkan jualan yang diperoleh sebanyak RM30,000 sejak kempen berkenaan dilancarkan, pada 30 April lalu.

Katanya, kempen terbabit disertai 30 usahawan dengan hampir 1,000 jenis produk berkaitan Aidilfitri ditawarkan antaranya pakaian, kuih dan biskut raya serta produk kecantikan.

“Dengan 1,000 produk ini, kami amat positif ia akan melebihi daripada itu memandangkan ini adalah permulaan, malahan dalam keadaan ekonomi sekarang kita masih perlahan dan tidak berani untuk meletakkan sasaran tinggi.

“Tetapi perkara ini akan berterusan kerana dalam langkah berjimat cermat sepanjang musim perayaan, pembeli mempunyai banyak pilihan dan melalui Shopee serta sudah tentu ia menjadi pilihan terbaik pembeli, seterusnya mengurangkan kos perbelanjaan lain seperti petrol juga bayaran parkir kenderaan jika mereka ke pusat membeli belah.

“Kita berharap melalui pendekatan ini, pembeli dapat berbelanja secara berhemah dan beraya dengan ceria,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ‘Raya Bersama PKNS di Shopee’ di Dewan Aster Tingkat 4, Ibu Pejabat PKNS Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Pengurus Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li.

Pada masa sama, Zubaidah berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat perdagangan elektronik termasuk Selangor Informational Technology E-Commerce Council (SITEC) jika sambutan diterima sepanjang tempoh kempen berkenaan menggalakkan.

“Peranan kami adalah untuk membuka jalan kepada usahawan ini untuk memasarkan produk mereka ke peringkat lebih luas walaupun sebagai permulaan Shopee memberi tawaran kepada 30 usahawan.

“Selepas sebulan kempen dijalankan, kita akan menggalakkan lebih ramai usahawan untuk menyertai pasaran dalam talian melalui Shopee dan kita membuka ruang untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Zed Li berkata, adalah menjadi mandat bagi pihaknya untuk meningkatkan ekosistem pasaran dengan menyediakan landasan untuk penjual meneroka peruncitan dalam talian yang terbaik, sekali gus menjadi sebahagian daripada pertumbuhan E-dagang yang pesat.

“Kami lebih gembira untuk bekerjasama dengan PKNS dan SITEC untuk menjangkau serta membantu lebih banyak usahawan tempatan,” katanya.

 


Pengarang :