‘Reben Kuning’ usaha kerajaaan bantu belia bekas banduan dan bermasalah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

‘Reben Kuning’ usaha kerajaaan bantu belia bekas banduan dan bermasalah

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Projek Reben Kuning yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan terutama golongan belia, selain belia bermasalah menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan belia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober tahun lalu telah memperkenalkan projek itu bagi memberikan peluang kedua buat bekas banduan daripada kalangan belia dan mereka daripada sekolah pemulihan akhlak untuk diterima kembali ke pangkuan masyarakat.

Inisiatif dengan kerjasama Jabatan Penjara dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memberikan ruang bagi golongan tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan, pendidikan dan hidup dalam masyarakat tanpa diskriminasi atau pandangan serong.


Usaha itu secara langsung membantu belia terlibat untuk kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu yang tidak seharusnya menjadi bebanan buat mereka.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, masalah utama buat belia bekas banduan adalah untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada masyarakat, majikan dan malah keluarga mereka sendiri.

Oleh itu, katanya, sokongan setiap lapisan masyarakat penting bagi mengembalikan keyakinan diri pada golongan tersebut dan memberi jaminan kepada mereka yang kesaksamaan akan diberikan ketika mereka kembali di luar.

Malah menurutnya, MBM yang terlibat sama dalam Projek Reben Kuning turut membantu dengan menyediakan ‘Job Coaching’ kepada banduan muda sebelum mereka keluar dari penjara.

“Kita bawa majikan berpotensi untuk masuk terus ke dalam penjara bagi menerangkan mengenai skop pekerjaan dan keperluan industri kepada golongan tersebut.

“Malah ada juga majikan tersebut yang terus menawarkan pekerjaan kepada mereka, jadi sebelum mereka keluar lagi dah secure kerja dan apabila keluar terus boleh mula bekerja,” katanya kepada Bernama.

Pakatan Harapan yang mula menerajui kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei tahun lalu sememangnya memberikan perhatian kepada bekas banduan dalam dasar mereka, dan ini terbukti dalam Belanjawan 2019 yang memberi pemotongan cukai tambahan ke atas majikan yang menggaji golongan itu.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, Projek Reben Kuning penting dalam memastikan belia bekas banduan terus kekal di jalan yang lurus dan tidak kembali semula melakukan jenayah.

“Kita perlu pastikan mereka ini kekal di jalan yang baik dengan menyediakan peluang mencari pendapatan kerana jika tidak, jaringan jenayah yang pernah disertai mereka dulu sedia untuk menerima mereka kembali.

“Tidak susah (untuk menerima bekas banduan), majikan cuma perlu sesuaikan tempat kerja kepada golongan ini sama seperti majikan menyesuaikan tempat kerja mereka untuk golongan orang kurang upaya. Mungkin majikan boleh mulakan dengan kerja yang ringan kepada mereka, jika sudah baik boleh beralih kepada lebih berat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next