BERITA UTAMANASIONAL

Reformasi perlu dimaknai dengan dasar ekonomi membebaskan rakyat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 9 MEI: Gagasan reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu dimaknai dengan dasar ekonomi yang membebaskan rakyat daripada kemelut ekonomi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tekad politik PAKATAN harus memberi kesan menyeluruh supaya kekayaan negara tidak berlegar pada golongan berpangkat, sebaliknya turut dirasai mereka yang terpinggir.

Katanya, kemenangan dinikmati hari ini adalah hasil kesedaran dan pengorbanan golongan yang mendambakan perubahan serta reformasi sejak 20 tahun lalu.

“Jika ditelaah semula pencapaian yang dicapai pentadbiran hari ini, ternyata ia suatu pencapaian yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara. Tidak dinafikan masih banyak lagi perlu dilunaskan dan diselenggara supaya negara ini akan kembali dihormati dunia.

“Namun, usaha PAKATAN dalam menggagas reformasi harus dimaknai dengan dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat.

“Tekad politik juga harus diselaraskan supaya ia benar-benar memberi dampak menyeluruh dan kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir serta melarat.

“Dengan berkat dukungan dan sokongan rakyat berbilang kaum dan agama akhirnya memungkinkan peralihan kuasa yang aman dan demokratik di negara ini,” katanya dalam perutusan khas sempena ulang tahun pertama pentadbiran PAKATAN.

Pada masa sama, beliau berkata, masalah hubungan antara kaum dan agama di Malaysia dilihat semakin meruncing ketika PAKATAN sedang menjelmakan perubahan.

Anwar berkata, ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng serta dikesampingkan, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha meletakkan Malaysia kembali ke landasannya.

“Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembleng seluruh tenaga dan pihak pembangkang ketika itu dalam usaha merubah landskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini.

“Justeru, marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan,” katanya.


Pengarang :