NASIONAL

Remaja hancur lima jari tangan akibat main mercun

 

BESUT, 20 Mei: Akibat bermain mercun seorang remaja lelaki berusia 13 tahun hilang kelima-lima jari tangan kanannya dalam satu kejadian di Kampung Kubang Ikan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan dan semua jari tangan kanannya hancur.

“Semasa kejadian ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, terdengar letupan dan jeritan dari luar rumahnya sebelum sepupunya datang memberitahu kejadian yang menimpa anaknya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, malam tadi.

Ibu mangsa telah menghantarnya ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

Mohd Zamri berkata insiden itu merupakan kes pertama mangsa letupan mercun di daerah Besut pada Ramadan tahun ini.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak yang bermain mercun supaya insiden kecederaan akibat mercun setiap kali tiba musim perayaan dapat dicegah. -BERNAMA


Pengarang :