Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
NASIONAL

Reman lima suspek kes tetak di pusat hiburan Ipoh

IPOH, 20 MEI: Lima lelaki direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan antara dua kumpulan sehingga menyebabkan seorang maut di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohd Nordin Abdullah berkata, permohonan reman ke atas kelima-lima lelaki berumur 20-an hingga 30-an itu dibenarkan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

“Kelima-lima suspek ditahan di hadapan pusat hiburan berkenaan semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Mohd Nordin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 pagi itu mangsa dikenali sebagai S.Kanakaran, 35, maut selepas mengalami cedera parah dipercayai akibat ditetak dengan parang.

“Siasatan awal mendapati ketika mangsa berhibur dan dipercayai sedang mabuk berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan di dalam pusat hiburan itu.

“Pergaduhan terbabit berlanjutan hingga ke luar pusat hiburan sebelum mangsa ditetak,” kata Mohd Nordin.

Mangsa kemudian meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

— BERNAMA

 


Pengarang :