KULIM, 12 Mei — Mohd Hasmi Idris, 39, menunjukkan kuih-muih bersaiz mini yang dihasilkan isterinya Nurul Syafimi Abd Manap,35, setiap hari. Kuih itu dijual dengan harga 10 sen bagi setiap biji dengan membuka gerai di Jalan Keranji mampu merubah kehidupan mereka sekeluarga walaupun keuntungan yang diperolehi tidak begitu lumayan. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALRENCANA

Rezeki ‘cucur sekupang’

KULIM, 12 MEI: Sepasang suami isteri tidak menyangka keputusan yang diambil untuk menjual cucur dan kuih-muih pada harga 10 sen (sekupang) sebiji mampu merubah kehidupan mereka yang sebelum ini sering berdepan dengan kesempitan kewangan.

Nurul Syafini Abd Manap, 35, bersama suaminya Mohd Hasmi Idris, 39, mula menjual pelbagai jenis cucur dan kuih muih bersaiz mini di gerai mereka di Jalan Keranji, di sini sejak dua bulan lalu.

“Sebelum ini saya dan suami asyik tak cukup wang, nak bayar sewa rumah, perbelanjaan anak ke sekolah pun tak cukup ketika suami kerja makan gaji sebagai pembantu kedai yang diberi upah antara RM30 hingga RM40 sehari.

“Tapi sejak saya dan suami ambil keputusan berniaga cucur sekupang (10 sen), Alhamdulillah rezeki kami tidak putus, sentiasa ada duit, mungkin kerana niat bersedekah kepada pelanggan, walaupun untung kami tidak banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Katanya, cucur atau kuih muih bersaiz mini yang dijual mendapat sambutan menggalakkan dan kebiasaannya akan habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

“Setiap hari saya dan suami akan buka gerai pada jam 4 petang dan kira-kira jam 6 petang, semua cucur yang saya jual seperti karipap, donat, onde-onde, kuih kacang, cucur badak, sosej gulung, popiah goreng, cekodok pisang, dan jemput-jemput jagung akan habis terjual,” kata ibu kepada enam orang anak itu.

Sementara itu, Mohd Hasmi berkata sebelum ini beliau pernah membantah cadangan isterinya untuk menjual kuih dan cucur pada harga 10 sen kerana bimbang tidak akan memperoleh keuntungan.

“Saya kasihankan isteri saya kerana terpaksa bangun awal untuk buat persiapan dan sebelah malam baru boleh berehat seperti tidak berbaloi menjual pada harga itu,” katanya.

Namun, Mohd Hasmi bersyukur kerana pengorbanannya dan isteri berbaloi apabila kuih dan cucur yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi dan perlu menyediakan antara 2,000 hingga 2,500 biji setiap hari untuk jualan dan tempahan pelanggan.

– BERNAMA

 


Pengarang :