SELANGOR

Ribut di Rawang, Kerajaan Negeri kumpul maklumat kerosakan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

RAWANG, 6 MEI: Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat lanjut berkaitan kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian ribut kencang Jumaat lalu bagi urusan penyaluran bantuan dana.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, ketika ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup sejak semalam dan semua mangsa terlibat sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kita akan kumpulkan maklumat tentang kerosakan yang dihadapi mangsa dan kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini bagi membincangkan tentang penyaluran peruntukan.

“Kita akan pastikan semua penduduk dalam keadaan selamat dan selesa, lagi-lagi ketika menghadapi Ramadan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar sumbangan kecemasan kepada mangsa yang terlibat pada Sabtu lalu.

Empat lokasi terjejas adalah Taman Jati, PKNS Batu 17, Taman Setia Batu 16 dan Pangsapuri Rawang Perdana 1 termasuk bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan tun Perak serta tangki air Blok Cempaka Tun.

Berikutan bencana itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Kanching Jaya.

Sekurang-kurangnya 200 keluarga terjejas dalam kejadian ribut terbabit.


Pengarang :