EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Ringgit meneruskan aliran lemah yang dicatatkan pada Jumaat minggu lalu untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Ini berikutan kebanyakan peniaga tidak memasuki pasaran memandangkan mereka menunggu pengumuman mengenai kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1465/1495 berbanding 4.1410/1440 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Peniaga berkata dolar AS juga lemah selepas pegawai Rizab Persekutuan (Fed) menyuarakan kebimbangan mereka mengenai inflasi yang rendah.

“Terdapat tekanan inflasi susulan dolar yang lebih lemah selain jangkaan pelabur bahawa Fed bersedia mengurangkan kadar faedah sekiranya ekonomi negara itu mencatatkan prestasi rendah,” katanya.

Dalam perkembangan luaran yang lain, China dilaporkan sedang mempertimbang untuk membatalkan rundingannya dengan Washington setelah Presiden AS Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu ke atas dagangan dengan negara berkenaan.

Wakil dari dua ekonomi terbesar di dunia itu dijadualkan bertemu minggu ini.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0362/0395 daripada 3.0355/0379 pada Jumaat minggu lepas serta susut berbanding yen Jepun kepada 3.7572/7610 daripada 3.7142/7179.

Mata wang tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4497/4553 daripada 5.3792/3843 dan rendah berbanding euro kepada 4.6370/6420 daripada 4.6185/6230.

– BERNAMA

 


Pengarang :