Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini ekoran kekurangan minat belian baharu, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1480/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1500 yang dicatatkan sewaktu ditutup pada Selasa.

Ini adalah prestasi paling lemah ringgit sejak 3 Jan, 2019 apabila ia ditutup pada paras 4.1460/1500 berbanding dolar AS.


Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan menyifatkan ketiadaan reaksi ketara terhadap langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman semalam, sememangnya dijangkakan kerana bank pusat itu telah membayangkan pada Mac lepas bahawa ia akan mengambil tindakan awal bagi mewujudkan penampan dan aspek dasar.

“Kadar yang diturunkan itu dijangka memastikan permintaan dalam negara dapat terus memacu momentum pertumbuhan ekonomi berikutan keadaan Malaysia yang perlu menepis risiko penurunan ketara dan ketidakpastian global seperti yang dinyatakan dalam kenyataan terbaharu dasar monetari BNM,” katanya kepada Bernama.

BNM mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus dan bank pusat itu berkata pelarasan OPR itu bagi melindungi tahap akomodatif monetari.

“Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang mantap di tengah-tengah kestabilan harga,” kata BNM.

Kali terakhir BNM membuat perubahan kadar OPR pada 25 Jan, 2018, apabila menaikkan 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Mengulas selanjutnya, Tan berkata pada masa akan datang, FXTM menjangkakan faktor luaran akan terus menjadi penentu prestasi ringgit.

Sementara itu, secara keseluruhannya, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama dunia kecuali yen Jepun yang menyaksikan ringgit susut kepada 3.7654/7692 berbanding 3.7506 / 7540 pada Selasa.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0437/0471 daripada 3.0446/0472, meningkat berbanding euro kepada 4.6433/6479 daripada 4.6455/6505 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4231/4274 daripada 5.4288/4340.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next