Selangorkini
NASIONAL

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan pelabur tidak memasuki pasaran berikutan faktor luaran selain krisis perdagangan AS-China semakin buruk.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1700/1730 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1660 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata penyenaraian hitam syarikat utama teknologi China, Huawei oleh AS akan memberi kesan negatif terhadap pembuatan serta perdagangan elektrik dan elektronik, yang merupakan antara sektor penting Malaysia.

“Larangan itu akan memburukkan lagi ketegangan antara dua kuasa ekonomi utama tersebut. China pasti akan melaksanakan langkah tindak balasnya. Daripada apa yang dapat kita lihat, keadaan semakin buruk,” katanya kepada Bernama.

Semalam, White House dan Jabatan Perdagangan AS mengambil langkah untuk melarang Huawei daripada menjual teknologinya dalam pasaran AS, yang mungkin mempunyai kesan berterusan dan meluas kepada pembekal semikonduktor Amerika Syarikat, termasuk Qualcomm.

“Apa yang kita bimbang adalah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan yang telah sedia menyebabkan kelembapan ekonomi global. Syarikat Malaysia juga akan terjejas bagi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0371/0404 berbanding 3.0414/0447 ketika ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7916/7954 daripada 3.7991/8021.

Mata wang tempatan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.3305/3360 daripada 5.3407/3462 serta stabil berbanding euro kepada 4.6591/6642 daripada 4.6667/4713.

-BERNAMA


Pengarang :