EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan harga minyak yang lebih baik, meningkatkan permintaan terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1870/1900 semasa ditutup pada Jumaat.

Penanda aras minyak mentah Brent diniagakan tinggi 0.56 peratus kepada AS$67.85 setong, pada masa ini.

Peniaga berkata ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin berkurangan telah meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur susulan laporan bahawa Presiden AS Donald Trump akan mengurangkan sekatan terhadap Huawei Technologies Inc sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang lebih besar dengan China.

Dalam negara, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan merancang untuk menarik lebih banyak pelaburan asing untuk meningkatkan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi ringgit.

Selain mengakui perang perdagangan memberi kesan kepada prestasi ringgit, katanya keadaan itu dapat dielakkan jika Malaysia tidak begitu bergantung kepada import.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0452/0499 daripada 3.0404/0431 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.8226/8282 daripada 3.8178/8216.

Unit tempatan turun berbanding pound British kepada 5.3246/3330 daripada 5.3158/3213 dan susut berbanding euro kepada 4.6897/6970 daripada 4.6844/6894 pada Jumaat lepas. – BERNAMA


Pengarang :