Ringgit dijangka diniaga dalam jajaran kecil berbanding dolar AS | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Ringgit dijangka diniaga dalam jajaran kecil berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan kebimbangan terhadap lanjutan perang perdagangan antara negara itu dengan China.

Minggu dagangan adalah singkat kerana ditutup pada Isnin bersempena Hari Wesak dan cuti Nuzul Al-Quran, pada Rabu.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia-Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ekuiti global dijangka mengalami penurunan ketara pada Khamis, menggalakkan lagi aktiviti jualan global susulan larangan terbaharu terhadap syarikat telekomunikasi China Huawei yang menjejaskan lagi hubungan antara AS dan China.


“Kami percaya keadaan geopolitik semasa akan memaksa pelabur untuk lebih mengamalkan sentimen berhati-hati daripada sebarang pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis FXTM Han Tan berkata pasaran Asia suram pada Jumaat susulan stok AS ditutup rendah akibat kebimbangan bahawa ketegangan perdagangan AS-China yang berpanjangan mampu memberi impak lebih drastik terhadap ekonomi global.

Penjualan pada bulan ini menunjukkan pasaran telah menerima prospek kemungkinan peningkatan konflik antara AS dan China memandangkan kedua-dua pihak saling mempertahankan pendirian masing-masing.

Pada Jumaat, Kementerian Perdagangan China dilaporkan berkata lebih banyak usaha perlu dilaksana bagi mencapai matlamat menstabilkan perdagangan sambil meningkatkan kualiti selain perkembangan persekitaran perdagangan yang tidak menentu dan mencabar.

Harga minyak pulih sedikit pada Jumaat ketika bekalan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dikurangkan dan pertikaian di Timur Tengah, namun ia tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian pada awal minggu ini akibat ekonomi yang perlahan.

Tan berkata pelabur telah mengurangkan pendedahan terhadap aset berisiko dan sebaliknya memilih aset selamat dengan emas meningkat satu peratus melebihi paras psikologi US$1,280, manakala hasil Perbendaharaan AS ketika ini pada paras terendah sejak Oktober 2017.

“Risiko permintaan dijangka ketara berikutan ia akan ditentukan pengeluar minyak sama ada untuk mengekalkan pengurangan pengeluaran sehingga separuh kedua tahun ini,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit jatuh ke paras 4.1870/1900 berbanding dolar US daripada 4.1750/1780 sebelum ini.

Ia diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan adalah lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0404/0431 daripada 3.0335/0368 berbanding yen Jepun, jatuh kepada 3.8178/8216 daripada 3.8051/8093.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3158/3213 daripada 5.3265/3324, namun merosot berbanding euro kepada 4.6844/6894 daripada 4.6601/6652.

–BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next