EKONOMINASIONAL

Ringgit teruskan aliran menyusut berbanding dolar AS pada dagangan awal

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Ringgit dibuka sedikit rendah hari ini, menerus aliran menurun berikutan pelabur sedang menunggu pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama (Q1) pada Khamis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan dibuka pada paras 4.1595/1625 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1570/1600.

Seorang peniaga berkata, selepas pengumuman kadar dasar semalaman minggu lepas dan indeks pengeluaran perindustrian bulanan (IPI), peniaga kini menunggu data KDNK bagi Q1 sebelum melabur.

RHB Bank dalam penyelidikan ekonominya hari ini, berkata data dicatatkan IPI Mac pada 3.1 peratus daripada 1.7 peratus pada Februari yang ebih tinggi daripada jangkaan adalah disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor perkilangan dan elektrik.

“Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK akan merosot kepada 4.3 peratus tahun ke tahun pada Q1 2019 daripada 4.7 peratus daripada Q4 2018 ekoran kelembapan ekonomi serta ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS-China,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran masih dipengaruhi ketegangan perdagangan antara AS dan China, dan sebarang kemelut yang timbul semasa rundingan itu berjalan akan memberi kesan ketara terhadap pasaran.

“Pasaran menjangkakan pengumuman tarif tidak akan menjadi kenyataan dan pelabur kekal yakin bahawa ketegangan perdagangan akan diselesaikan dan disusuli dengan Trump-Xi mencapai persetujuan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding kebayakan mata wang asing utama lain.

Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0486/0510 daripada 3.0503/0534 pada Jumaat, dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4107/4150 daripada 5.4091/4147.

Mata wang tempatan menyusut berbanding yen kepada 3.7910/7948 daripada 3.7843/7880, dan turun berbanding euro kepada 4.6711/6762 kepada 4.6683/6733 pada Jumaat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :