BERITA UTAMASELANGOR

RM500 juta bangun Waste-To-Energy di Jeram

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

KUALA SELANGOR, 16 MEI: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM500 juta bagi pembangunan projek ‘Waste-To-Energy’ (WTE) fasa pertama, di pusat pelupusan sampah sedia ada di Jeram, kata EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Hee Loy Sian berkata, projek moden dan terbesar di Malaysia itu akan dikendalikan Worldwide Holdings Berhad dan projek berkenaan dijangka mampu menghasilkan tenaga daripada sisa sampah.

”Ini adalah (projek) pertama di Selangor untuk kita menyelesaikan masalah tapak pelupusan sampah kerana kita sudah tiada lagi tapak pelupusan sampah yang sesuai dan jika ada sekalipun akan ada masalah seperti pencemaran air di bawah tanah.

”Kita sudah membuat kajian selama tiga tahun ini di kebanyakan negara untuk mencari satu pelan yang paling sesuai dan kita sudah berjaya mendapatkannya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Bazar Ramadan Mampan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 2019, di Tapak Bazar Ramadan Saujana Utama, hari ini.

Mengulas pelaksanaan projek berkenaan, Hee Loy Sian berkata, projek itu dijangka akan dilaksanakan penghujung tahun ini jika tiada sebarang halangan.

”Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan membuat satu pecah tanah di Jeram dan ini adalah penyelesaian sampah yang menghasilkan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, Worldwide Holdings Berhad bakal menerajui projek WTE di Malaysia yang bakal dibangunkan di pusat pelupusan sampah sedia ada, di Jeram.

WTE bakal menjadi sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu atau ‘Integrated Solid Waste Management Center (ISWMC)’ sebagai satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal.


Pengarang :