SELANGOR

RM60,000 peruntukan Jom Shopping Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 22 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk penerima yang layak bagi Program Jom Shopping Aidilfitri dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, pada tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, seramai 600 penerima terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin meliputi tiga zon kawasan ahli majlis termasuk tujuh kampung layak menerima bantuan berkenaan.

Katanya, inisiatif itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut perayaan.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menawarkan pemberian baucar Jom Shopping untuk sambutan Tahun Baharu Cina meringankan beban penerimanya.

“Semuanya menerima RM100 seorang dan kita berharap mereka gembira dengan pemberian ini yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan barangan keperluan bagi meraikan lebaran yang bakal kunjung tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, di Pasaraya Giant Bukit Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Azmizam berkata, inisiatif mengekalkan pemberian Jom Shopping setiap perayaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan terbabit.

“Ia juga harus dipuji kerana menunjukkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya berharap penerima gembira dengan inisiatif diterima dan sedikit sebanyak dapat membantu membeli barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.


Pengarang :