BERITA UTAMASELANGOR

RMS sampaikan sumbangan Aidilfitri buat 2,745 anak yatim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyampaikan Sumbangan Aidilfitri berjumlah RM274,500 kepada 2,745 anak-anak yatim daerah Klang dan Petaling.

Berlangsung di Masjid Seksyen 7, Shah Alam, seramai 600 anak yatim dijemput bagi menerima sumbangan RM100 setiap seorang yang diperuntukkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan bakinya terus dimasukkan ke akaun penjaga masing-masing.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, ia adalah majlis sumbangan pertama daripada sembilan daerah dan dijangka berakhir pada minggu terakhir Ramadan.

“Setiap sumbangan yang diberikan kepada anak yatim adalah hasil daripada sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC), sektor swasta dan individu yang prihatin terhadap kebajikan anak yatim ini.

“YIDE ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada semua penyumbang pada hari ini,” katanya.

Antara penyumbang adalah SELGATE Corporation Sdn Bhd (RM55,600), KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM15,000) manakala Perbendaharaan Negeri Selangor dan AftaCorp Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM10,000.

Tidak ketinggalan, Aiman Platanium Sdn Bhd dan Selangor Industrial Corporation masing-masing menyumbang RM5,000 manakala Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyumbang RM3,000.

Bakhtiar berkata, YIDE turut memperkenalkan sistem kupon infaq bagi membolehkan orang ramai menyumbang sebanyak RM2.00.

“YIDE mengalu-alukqn orang ramai untuk menjadi ejen atau amil bagi mengedarkan kupon infaq ini dan juga mendapat 1/4 sebagai upah daripada hasil kutipan dibuat.

“Kupon infaq ini telah mula diedarkan kepada amil-amil fitrag di daerah Petaling dan Klang sebelum Ramadan.

“Saya berharap orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melakui kupon infaq tersebut setelah menunaikan kewajipan zakat fitrah terlebih dahulu selain menggunakan aplikasi Jom Pay,” katanya.


Pengarang :