NASIONAL

Rusuhan di Jakarta turut didalangi ISIS

JAKARTA, 23 Mei: Polis Indonesia percaya insiden rusuhan di Jakarta sejak dua hari lepas, turut didalangi kumpulan pengganas ISIS.

Daripada 257 perusuh yang ditahan setakat ini, beberapa orang disyaki menganggotai kumpulan militan ISIS atau Negara Islam Iraq dan Syria.

Ketua Divisyen Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal berkata polis sedang memburu dalang atau mereka yang mengarahkan rusuhan itu.

“Kami telah kenalpasti pemimpin kumpulan itu dan sedang memburunya, kumpulan ini juga didapati merancang menyerang premis polis,” katanya pada sidang media di sini.

M Iqbal berkata demonstrasi membantah keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019) sejak dua hari lepas itu dilakukan beberapa kumpulan.

Kumpulan pertama, adalah kumpulan demonstrasi massa yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman, dengan mendakwa berlaku penipuan dalam proses Pilpres 2019.

Kumpulan kedua, adalah kumpulan dari luar Jakarta (Jawa Barat, Jawa Timur dan Banten), yang bertujuan merusuh dan mencetuskan suasana tidak aman di Jakarta, dan kumpulan ketiga, adalah mereka yang didalangi ISIS. -BERNAMA

 


Pengarang :