NASIONAL

RUU Food Bank laksana program lebih sistematik

PUTRAJAYA, 13 MEI: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan program Food Bank yang dirangka akan memastikan pelaksanaan program lebih bersistematik seterusnya menjamin pembabitan berterusan rakan strategik dan pihak berkepentingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggubalan undang-undang itu turut mengambil kira pengalaman negara lain yang telah lama melaksanakan program Food Bank.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Food Bank Malaysia di sini hari ini, beliau berkata, draf pertama RUU berkaitan program Food Bank telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti.

“Kami tidak dalam situasi tergesa-gesa, namun yakin ia (RUU) boleh dibentang (di Parlimen) pada akhir tahun ini,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap Saifuddin Nasution berkata sejak penubuhannya pada Disember tahun lepas, kementerian berjaya mendapatkan komitmen 430 pasar raya di seluruh negara untuk menderma lebihan makanan kepada inisiatif (Food Bank) ini.

Lebihan makanan yang dikumpul kemudian disalurkan kepada kumpulan sasar oleh rakan kongsi strategik kementerian iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Food Bank.

Sehingga Mac tahun ini, sebanyak 1,156 tan metrik makanan dijimatkan dan 113,726 penerima yang memerlukan dibantu, katanya.

Saifuddin Nasution berkata kementeriannya bercadang untuk memperluas rangkaian dengan mendapatkan lebih ramai pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan makanan seperti petani, pengilang, restoran dan hotel sebagai usaha kolektif daripada mereka bagi memastikan kelestarian bekalan makanan dan masa hadapan Food Bank Malaysia.

“Kami harus mencari penderma dengan meningkatkan dana daripada sektor korporat. Ini adalah untuk mengukuhkan keupayaan Food Bank Malaysia agar dapat membantu lebih ramai orang pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai langkah membendung pembaziran makanan pada bulan Ramadan, Saifuddin Nasution berkata pemain industri makanan dinasihatkan menyertai inisiatif Food Bank yang mana kementeriannya mempunyai data penerima yang boleh dikongsi.

“Mengikut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kira-kira 15,000 tan metrik sisa makanan dibazirkan setiap hari dan jumlah itu meningkat ke tahap menakutkan ketika Ramadan, bulan yang seharusnya kita insaf ada segmen masyarakat yang bergelut untuk mendapat makanan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :