KUANTAN, 4 Mei — Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (duduk tengah) bersama-sama pelajar cemerlang pada majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih Peringkat Indera Mahkota hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Saifuddin: Kerajaan PH tidak pinggir Islam

KUANTAN, 4 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminggirkan Islam, sebaliknya melaksanakan pelbagai agenda yang mendaulatkan agama rasmi negara.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara contoh yang boleh dilihat ialah usaha kerajaan memulihkan semula institusi Islam terbesar negara, Tabung Haji.

“PH juga memperkenalkan gagasan rahmatan lil alamin iaitu rahmat kepada semua serta prinsip maqasid syariah yang meletakkan objektif syariah di tempat yang lebih tinggi.

“Kerajaan juga memberi perhatian kepada institusi tahfiz seperti pemberian bantuan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Apresiasi Kecemerlangan Akademik dan Pelancaran Program Sinar Kasih peringkat Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata demikian semasa diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenainya, termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menganjurkan Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam di ibu negara hari ini.

Beliau bagaimanapun menyifatkan penganjur perhimpunan itu berhak untuk berhimpun memandangkan ia adalah sebahagian daripada hak kebebasan bersuara.

Sementara itu di Putrajaya, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semasa mengulas perhimpunan berkenaan berkata tanggapan bahawa Islam diancam pada pada masa ini ialah satu persepsi yang sengaja diada-adakan.

“Kerajaan PH menyelamatkan Melayu dan Islam dengan memastikan pentadbiran negara bersih dari salah guna kuasa dan rasuah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran Festival Ramadan Putrayaja 2019 di Presint 3, Putrajaya.

-BERNAMA


Pengarang :