NASIONAL

Saksi: RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun Ihsan Perdana

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) melalui sembilan transaksi.

Bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali berkata demikian ketika disoal balas peguam Farhan Read pada hari ke-18 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Aishah, 37, bagaimanapun tidak pasti RM20 juta daripada jumlah wang itu dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Dis 2014.

Farhan: Saya senaraikan kemasukan wang ke dalam akaun IPSB. Pada 11 Disember 2014, sebanyak RM5 juta dan RM15 juta; 15 Disember (RM20 juta); 24 Dis (RM40 juta); 9 Januari 2015 (RM40 juta); 5 Februari (RM5 juta); 6 Februari (RM5 juta); 13 Februari (RM10 juta) dan 9 April 2015 berjumlah RM3 juta.

Aishah: Ya.

Farhan: Daripada RM143 juta itu, sebanyak RM20 juta dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Disember 2014?

Aishah: Tidak pasti.

Menjawab soalan lain, Aishah, yang kini Pengurus Akaun di Redtech Offshore Sdn Bhd, berkata mungkin RM123 juta daripada RM143 juta itu dipindahkan daripada syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ke-36 itu, yang pernah bekerja di IPSB selama empat tahun, berkata beliau tidak tahu sama ada IPSB pernah berurusan dengan syarikat Gandingan Mentari.

Farhan: Boleh sahkan terdapat pengeluaran sebanyak RM118 juta daripada IPSB dari 2014 dan 2015?

Aishah: Ya

Farhan: Daripada RM118 juta, sebanyak RM42 juta dikeluarkan kepada Najib, RM76 juta kepada Mail Global Resources manakala RM1.5 juta masing-masing dipindahkan kepada Tazri Talib dan Mohamed Redzuan Adamshah?

Aishah: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA


Pengarang :