NASIONAL

Salakan anjing selamatkan bayi di tong sampah

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Salakan kuat anjing milik pengawal keselamatan membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki masih bertali pusat yang dicampakkan ke dalam tong sampah di sini pagi tadi.

Bayi itu ditemukan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Pandan Indah, kira-kira jam 6 oleh pengawal berkenaan ketika sedang membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Menyatakan kejadian itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata, anjing itu secara tiba-tiba menyalak dengan kuat menyebabkan pengawal keselamatan itu terdorong menjengok sebuah tong sampah bila mendengar tangisan bayi.

“Bila diperiksa ada seorang bayi dan beliau terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” kata Mohd Zaid dalam kenyataan.

Beliau berkata bayi yang masih bertali pusat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

“Pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan pada anggota badan bayi,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :