Masjid Wilayah Persekutuan. Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Sambut baik cadangan 1 Masjid 1 Pegawai Polis

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Cadangan Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk menempatkan seorang pegawai polis di 72 masjid melalui program 1 Masjid 1 Pegawai Polis (1M1P) mendapat reaksi positif daripada pentadbir Masjid Wilayah Persekutan.

Imam Besarnya, Ehsan Mohd Hosni berkata, program itu adalah salah satu daya usaha untuk mengekang kejadian jenayah terutama di masjid supaya jemaah merasa tenteram dan selamat ketika beribadah.

“Sudah sampai masanya inisiatif itu dilaksanakan ekoran berlaku kejadian seperti kecurian pada waktu puncak seperti solat Jumaat dan solat Tarawih pada bulan Ramadan,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, program itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan anggota jawatankuasa masjid bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pencegahan jenayah dengan menyalurkan maklumat kepada polis.

Beliau berkata, ini bagi mengurangkan jenayah seperti curi motosikal, pecah kenderaan, curi tabung masjid dan curi kasut.

-BERNAMA


Pengarang :