SELANGOR

Sampah bulan Ramadan meningkat 30 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Jumlah sampah yang dihasilkan sepanjang Ramadan kali ini meningkat sebanyak 30 peratus, berbanding tahun lalu.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, trend itu dilihat bermula sejak 1 hingga 7 Ramadan (6 hingga 12 Mei) yang lalu.

Katanya, peningkatan jumlah sampah ini berlaku disebabkan pertambahan bazar Ramadan selain jumlah orang awam yang berbuka puasa di luar.

“Makanan yang tidak habis dijual di bazar Ramadan antara penyumbang utama peningkatan sampah terhasil.

“Malah menerusi rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga menunjukkan terdapat banyak makanan dibazirkan pada Ramadan sehingga ia dibuang begitu sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar KDEBWM 2019 di Hotel Concorde, di sini, malam tadi.

Lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga diraikan berbuka puasa bersama selain turut dimanfaatkan dengan sesi tazkirah dan juga solat terawih.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya sudah bersiap sedia menangani masalah peningkatan jumlah sampah itu bagi mengelakkan bazar Ramadan menjadi kotor pada hari berikutnya.

“Oleh kerana itulah kakitangan KDEBWM menghabiskan kerja sehingga jam 1 ke 2 pagi semata-mata bagi memastikan lokasi bazar Ramadan ini bersih.

“Kita juga tidak mahu tapak bazar menjadi tempat berkumpulnya anjing liar sehingga menyebabkan timbulnya penyakit lain,” katanya.


Pengarang :