SELANGOR

Santunan Mahabbah rai 120 anak yatim, penghuni RPA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 MEI: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 120 anak yatim termasuk remaja puteri apabila diraikan dalam Program Santunan Mahabbah dan Majlis Berbuka Puasa, di Rumah Puteri Arafiah (RPA), di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan tujuh hingga 21 tahun itu adalah dari Rumah Darul Wadah, Rumah Jagaan Al-Fikrah dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) yang diundang khas sempena majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Pengerusi RPA, Masdiana Muhamad berkata, program itu bertujuan menghimpunkan penghuni di ketiga-tiga rumah kebajikan terbabit untuk lebih mengenali antara satu sama lain di bawah satu bumbung sama.

Katanya, selain berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik, inisiatif itu bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara ketiga-tiga pengurusan rumah kebajikan terbabit.

“Anak-anak di RPA selalunya bergaul sesama mereka sahaja, tetapi apabila menerima kunjungan hari ini, mereka gembira dapat menyantuni tetamu berkenaan.

“Pada masa sama, tetamu boleh melihat sendiri bagaimana suasana di rumah perlindungan ini dan boleh bandingkan suasana belajar di sini.

“Malah, mereka turut berpeluang berkongsi pandangan daripada segi pengurusan dan keperluan yang masih kurang,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir, Penasihat PEKAWANIS & RPA merangkap Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin; Setiausaha Kehormat PEKAWANIS, Mazura Mokhtar dan Pengurus Kanan QSR Brands (M) Holding Bhd, Hayuzi Darus.

Selain dijamu juadah berbuka yang enak, kesemua mereka turut menerima duit raya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM100 setiap seorang yang disampaikan Masdiana dan Shamshida.

Sementara itu, syarikat korporat, QSR Brands turut menyerahkan replika cek sumbangan makanan sebanyak 200 pek kepada wakil RPA.

Majlis juga diisi dengan aktiviti kerohanian seperti tazkirah Ramadan dan permainan santunan kasih serta persembahan selain disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Pada masa sama, isteri Dato’ Menteri Besar itu berharap, program sedemikian dapat memberi manfaat kepada semua pihak selaras matlamat untuk terus menyantuni tetamu yang mengunjungi rumah perlindungan berkenaan.

“Kita mahu mereka diraikan ini gembira dan sedar betapa ramai pihak yang prihatin dengan nasib mereka misalnya pemberi sumbangan,” katanya.

 


Pengarang :