SUKANKINI

Sathianathan kecewa aksi lewa pemain

LUMUT, 19 MEI: Jurulatih Selangor, B. Sathianathan kecewa selepas skuad Gergasi Merah gagal melakar kemenangan ke atas PKNP FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata, keputusan seri 1-1 tidak sepatutnya berlaku jika anak buahnya bermain dengan baik dan menyempurnakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

“Pemain kena ubah sikap, jangan ambil sambil lewa, saya dah cakap dalam perbincangan sebelum perlawanan dengan pemain. Kita tak boleh pandang rendah keupayaan PKNP FC namun sebaliknya yang berlaku.

“Daripada sepakan penjuru hingga ke sepakan percuma, kita tidak ambil peluang itu. Ada (pemain) yang tendang bola tak sampai sasaran dan langsung tidak membahayakan kubu gol PKNP FC. Jadi, selepas ini semuanya kita kena betulkan,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 hasil jaringan awang import, Olesegun Ifedayo sebelum PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang, G. Mugenthiran di minit ke-48.

Selain itu, Sathianathan berkata pemain tidak boleh menjadikan berpuasa sebagai alasan yang menyebabkan kegagalan untuk beraksi pada tahap terbaik kerana rata-rata pemain PKNP juga berpuasa, namun dilihat lebih agresif.

Dalam pada itu, beliau memuji aksi ditampilkan pemain PKNP FC yang bersungguh-sungguh sehingga berjaya mengunci pergerakan anak buahnya sepanjang perlawanan.

“Lebih 80 peratus serangan yang kita lakukan ke kubu mereka berjaya dipatahkan. Selain itu, taktik melengah-lengahkan masa permainan yang dilakukan juga berjaya menyekat kita daripada terus melancarkan serangan,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim memuji aksi yang dipamerkan anak didiknya dalam mengimbangi corak permainan pasukan lawan.

Beliau berkata, walaupun hanya menggunakan dua tenaga import iaitu Yashir Pinto dan Pedro Victor namun mereka masih mampu melancarkan serangan selain menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan itu.

Mengulas aksi menentang Kuala Lumpur di tempat lawan pada 26 Mei ini, Abu Bakar berharap keputusan positif dapat dicatatkan bagi memperbaiki kedudukan semasa di tangga ke-10 daripada 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Super.

– BERNAMA


Pengarang :