BERITA UTAMASELANGOR

Selangor bantu selesai isu banjir di Taman Mutiara Bukit Raja

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: Selangor akan mencari jalan terbaik bagi mengurangkan masalah banjir di Taman Mutiara Bukit Raja, di sini, kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, ia termasuk pembinaan kolam takungan banjir di kawasan berhampiran.

Katanya, walaupun langkah itu tidak menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, namun ia boleh mengurangkan kesan dihadapi penduduk.

“Saya akan minta semua pihak termasuk penduduk, pemaju, pihak berkuasa tempatan dan pihak Lebuhraya Grand Sepadu untuk berbincang berkenaan masalah banjir ini.

“Saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan melihat beberapa aspek teknikal dan pengambilalihan tanah terlebih dulu,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan itu, hari ini.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyegerakan pengambilalihan sistem pam dan meminta bantuan Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor untuk membantu melihat pengaliran di kawasan itu.

Sementara itu, penduduk Teh Lee Ming, 52, berkata banjir yang berlarutan sejak 14 tahun lalu itu meresahkan penduduk.

Katanya, masalah itu lebih teruk berlaku ketika kejadian paip pecah berhampiran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“Baru-baru ini, air banjir naik sehingga paras pinggang dan sangat laju memasuki ruang rumah. Saya berdua dengan anak sangat risau kerana air sangat laju. Ketika itu, elektrik juga terpadam,” katanya.

Justeru, beliau berharap masalah itu dapat ditangani segera.

 


Pengarang :