EKONOMINASIONAL

Episod baru ternakan negara, mampu stabilkan harga ayam

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 20 MEI: Selangor mengorak langkah bagi memimpin perusahaan ternakan negara apabila berjaya mengeluarkan makanan ternakan khasnya ayam berasaskan jagung bijiran yang dinamakan Jagungnaut Selangor Premier 1 (JSP1).

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, kejayaan tanaman JSP1 dalam skala besar-besaran itu memberi impak besar kepada perusahaan penternakan ayam negara apaabila tidak lagi terlalu bergantung kepada makanan ternakan import sekali gus memberi kestabilan harga ayam di pasaran.

“Di Sabak Bernam sahaja kita ada kira-kira enam juta ekor ayam yang diternak tidak termasuk tempat lain di Selangor dan negeri-negeri lain di mana ini menyebabkan kita mengimport banyak jagung bijiran bagi memenuhi keperluan makanan ayam-ayam ini.

“Bagaimanapun dengan kejayaan projek penanaman jagung bijiran ini saya yakin kita mampu mencapai sasaran untuk menampung kira-kira satu pertiga daripada bekalan jagung bijiran ini kepada penternak seluruh negara sekali gus mengurangkan risiko jika berlaku harga pasaran makanan ternakan import tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Hala Tuju dan Rancangan Strategik Makanan Ternakan Selangor di Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Izham berkata, pada masa ini harga ayam di pasaran banyak dipengaruhi harga makanan ternakan yang diimport berikutan kos bahan terbabit menelan kira-kira 85 peratus daripada kos keseluruhan penternakan ayam.

Katanya, pada masa ini, projek yang dijalankan Green World Genetic Sdn Bhd (GWG) dengan kerjasama PKPS itu diusahakan di atas tanah seluas 54 hektar.

“Ini adalah kali pertama projek penanaman jagung bijiran dibuat secara besar-besaran dan bersistematik dan secara puratanya kita memperolehi lima tan bagi setiap hektar.

“Selepas berbincang dengan GWG saya berkeyakinan hasilnya mampu dinaikkan ke 10 tan setiap hektar menjadikan penanaman ini sangat ekonomik,” katanya.

 

 


Pengarang :