BERITA UTAMASELANGOR

Selangor isitiqamah pertahan Perlembagaan, Melayu dan syiar Islam

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 11 MEI: Selangor tidak akan sesekali menggadaikan prinsip untuk mempertahankan perlembagaan semata-mata hanya untuk popular dan kekal berkuasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor tetap kekal istiqamah mempertahankan kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperkasa agama Islam serta syiarnya.

“Kita di Selangor masih lagi istiqamah dan kekal mempertahankan perlembagaan, menjaga kedudukan istimewa yang ada dalam perlembagaan termasuk hak kedudukan orang melayu dan pertahankan syiar serta agama Islam yang sememangnya menjadi asas penting kepada perlembagaan negara. Ia tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak.

“Justeru saya mengambil maklum isu yang dibangkitkan tetapi yakinlah kita tidak sama sekali menggadaikan prinsip atau apa juga isu yang ada dalam perlembagaan semata-mata untuk popular atau semata-mata untuk mengekalkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Bersama Agensi Kerajaan Negeri Selangor di Taman Ekstrem Wira Damai, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebaliknya terdapat pihak yang sengaja menyerang pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan mempermainkan isu agama serta kaum yang pastinya memberi kesan kepada hati rakyat.

Katanya, perbuatan mempermainkan isu agama dan kaum ini dibuat oleh pihak yang terdesak kerana kehabisan modal untuk menyerang Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Amirudin berkata, sementara itu di Selangor terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh sesetengah pihak tetapi ia dapat diselesaikan dengan cepat.


Pengarang :