EKONOMINASIONAL

Selangor kutip RM456 juta hasil premium tanah setakat April

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Selangor berjaya mengutip hasil premium tanah sebanyak RM456 juta iaitu pada kadar 42.5 peratus setakat 30 April tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM185 juta iaitu 17 peratus bagi tempoh yang sama pada 2018.

Katanya, ia menunjukkan perbezaan peningkatan sebanyak 25.5 peratus dalam tempoh itu.

“Manakala, kutipan cukai tanah semasa termasuk tunggakan sehingga 30 April ini berjumlah RM245 juta dan kutipan cukai petak dan tunggakan berjumlah RM8.1 juta.

“Jumlah keseluruhan yang dikutip adalah sebanyak RM 253.4 juta berbanding RM 250.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2018,” katanya pada program Rapat Ramadan bersama penjawat awam di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Amirudin berkata, hasil daripada urusan tanah adalah merupakan penyumbang terbesar pendapatan kepada Negeri ini.

Justeru, beliau mahu, seluruh warga Perkhidmatan Awam Selangor berganding bahu membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan strategi yang dirancang menerusi Belanjawan 2019.

“Ini termasuk usaha penjajaran serta peningkatan keberkesanan program- program peduli rakyat berpaksikan agenda Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri,” katanya.


Pengarang :